
171- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ". رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَلَهُ عِلَّةٌ.
- Daripada Abu Sa’id al-Khudri (r.a) daripada Nabi (s.a.w) pernah bersabda: “Bumi secara keseluruhannya merupakan tempat sujud, kecuali kuburan dan bilik mandi.” (Diriwayatkan oleh al-Timidzi dan hadis ini memiliki kecacatan).
172- عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُصَلِّيَ فِي سَبْعِ مَوَاطِنَ: الْمَزْبَلَةِ، وَالْمَجْزَرَةِ، وَالْمَقْبَرَةِ، وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ، وَالْحَمَّامِ، وَمَعَاطِنِ اْلإِبِلِ، وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللهِ". رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَضَعَّفَهُ.
- Daripada Ibn Umar (r.a), beliau berkata: “Nabi (s.a.w) telah melarang solat pada tujuh tempat, iaitu tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kuburan, tengah jalan, bilik mandi, tempat-tempat peristirahatan ternakan unta, dan di atas Baitullah.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan ia menilainya sebagai dha’if)
173- عَنْ أَبِي مَرْثَدٍ الْغَنَوِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "لاَ تُصَلُّوا إِلَى الْقُبُورِ، وَلاَ تَجْلِسُوا عَلَيْهَا". رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
- Daripada Abu Martsad al-Ghanawi, beliau berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Janganlah kamu solat menghadap ke kuburan dan jangan pula duduk di atasnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Feqh hadist yang boleh kita dapati disini:-
1. Kuburan. Imam Ahmad dan murid-muridnya berpendapat haram mengerjakan solat di perkuburan dan solatnya tidak sah berlandaskan kepada larangan yang terdapat di dalam hadis ini yang bersifat umum ini.
- Imam Abu Hanifah berpendapat makruh mengerjakan solat di perkuburan. Beliau tidak membezakan antara kuburan yang telah digali semula dan perkuburan yang selain itu.
- Mazhab Maliki berpendapat bahawa mengerjakan solat di perkuburan dibolehkan dan tidak dimakruhkan selagi tidak diketahui bahawa ia adalah najis.
- Imam al-Syafi’i membezakan antara perkuburan yang telah digali semula dan perkuburan yang selain itu. Dalam kaitan ini, beliau berkata: “Jika perkuburan itu telah digali semula hingga tanahnya bercampur dengan daging dan nanah mayat serta semua kotoran yang keluar daripadanya, maka tidak boleh mengerjakan solat di perkuburan itu kerana adanya najis.
Tetapi jika seseorang mengerjakan solat di tempat yang suci di kawasan perkuburan itu, maka solatnya tetap sah. Jika perkuburan itu tidak digali semula, maka dibolehkan solat di kawasan sekitarnya, tetapi itu makruh. Jika dia ragu sama ada perkuburan itu telah digali ataupun tidak, maka ada dua pendapat dalam masalah ini.”
2. Tempat mandi air hangat. Imam al-Syafi’i dan Imam Abu Hanifah berpendapat sah solat di tempat mandi air hangat selagi tempat tersebut selamat dari sebarang najis, namun hukumnya makruh.
- Imam Malik mengatakan boleh mengerjakan solat di tempat mandi air hangat dan tidak dimakruhkan.
-Imam Ahmad mengatakan tidak sah, kerana merujuk kepada larangan yang bersifat umum di dalam hadis ini.
3. Tempat penyembelihan dan tempat pembuangan sampah, sebab kedua-dua tempat tersebut adalah bernajis.
4. Jalan umum. Sebab dilarang mengerjakan solat di jalan umum kerana orang lain turut mempunyai hak untuk lalu di kawasan itu di samping solat yang dikerjakannya tidak terganggu oleh orang yang lalu lalang di sekitarnya.
5. Tempat rehat unta dilarang mengerjakan solat di tempat rehat ternakan unta kerana tempat itu merupakan tempat syaitan dan dikhuatiri ternakan unta akan lari hingga mengakibatkan rosaknya solat orang yang bersangkutan.
6. Mengerjakan solat di atas Baitullah dilarang kerana tidak ada lagi arah ke mana dia mesti menghadap yang dalam hal ini adalah menghadap ke arah kiblat.
7. Dilarang duduk di atas perkuburan. Larangan ini bermaksud makruh. Adapun duduk di atas atau di tepi kuburan dengan tujuan membuang air kecil atau air besar, maka hukumnya haram.
Oleh:Raden Khair






